
Kematian hadir tanpa duga. Tiada siapa tahu bila dan dimana. Namun ada insan
yang kecewa dengan hidup dan berangan untuk mati. Mereka sanggup terjun bangunan
setinggi lapan belas tingkat untuk mengakhiri hidup akibat putus cinta. Mereka fikir, mati
itu satu kemanisan dan penyelesai segala kekusutan hidup. Biar mati terhina daripada
hidup terseksa!
Mati begitu menyakitkan,ibarat dicincang oleh seratus bilah
pisau. Apatahlagi mati dalam keadaan kufur. Roh yang keluar amat busuk dan dikutuk
oleh sekalian makhluk. Segala binatang dan makhluk boleh melihat roh melainkan
manusia dan jin sahaja yang tidak diizinkan Allah untuk melihatnya. Roh itu dicaci dan
terawang-awang dengan penuh kekesalan.
Tapi lain pula halnya bagi calon syurga. Daripada hadith, bahasanya pada
mukmin, apabila putus hubungannya dari dunia dan berhadapan dengan akhirat, saat
hembus nafas, turunlah atas mukmin itu malaikat dari langit. Putih segala mukanya
seolah-olah mereka itu matahari dan serta dengan mereka itu kapan daripada kapan
syurga - jika si jenazah adalah calon syurga. Maka duduklah malaikat itu disisi mukmin
itu sejauh sepandang mata. Kemudian malaikat maut pun datang, duduk dekat kepalanya
lalu berkata, “Keluarlah olehmu hei nafsu mutmainnah. Kembalilah olehmu kepada
keampunan Allah dan keredhaan Nya.. sabda Nabi maka keluarlah ia dan mengalir dari
badannya seperti mengalir titiknya air dari bekasnya. Maka malaikat ambil akan nafsu
tadi dan diserahkan kepada malaikat rahmat. Dia menghantar nafsu itu. Dan terhidulah
bau wangi nafsu itu seperti bau kasturi.
Badan kita terdiri dari jutaan sel. Sel-sel berkumpul membentuk lapisan demi
lapisan. Lapisan sel inilah yang akhirnya membentuk tisu dan organ seperti jantung, kulit
dan hati. Sel seolah-olah sebuah rumah yang mempunyai komponen yang sentiasa
bekerja tanpa henti. Mitokondria, jasad Golgi, ribosom, nukleus, dan sitoplasma bekerja
24 jam sehari selama 7 hari seminggu. Untuk bekerja secara normal, sel memerlukan
tenaga yang diambil dalam bentuk tenaga ATP. Sel juga memerlukan oksigen, fosfat,
kalsium dan bahan makanan sebagaimana kita. Namun jika
berlaku sebarang masalah dan bekalan ini tidak mencukupi, sel akan mati.
Boleh dikatakan bahawa kematian bermula apabila roh dikeluarkan dari jasad.
Jasad adalah pakaian roh. Maka apabila manusia mati, jantung berhenti mengepam darah
ke seluruh badan. Sel-sel badan tidak lagi menerima oksigen yang diangkut oleh darah.
Akibat ketiadaan oksigen, semua sel akan mati. Kematian sel bermula pada sel
otak dan berakhir pada sel kulit..
Tempoh perubahan badan adalah berbeza-beza. Sel otak akan mati jika ia
mengalami kekurangan oksigen selama tiga minit. Sel otot boleh bertahan setelah
beberapa jam manakala sel tulang serta kulit boleh bertahan berhari-hari lamanya.
Perlu diketahui bahawa badan bernafas secara aerobik iaitu dengan menggunakan
oksigen. Maka apabila mati, proses respirasi aerobik akan terhenti dan menghalang
penghasilan tenaga molekul yang diperlukan untuk melakukan tindakbalas biokimia otot.
Ion kalsium akan berkejaran ke sel-sel otot bagi menghalang otot berehat atau
mengendur. Tapi apa yang berlaku ialah otot menjadi kaku dan keras, tidak bergerak lagi.
Sel telah mati. Tidak mampu melawan bakteria daripada memusnahkan dirinya.
Enzim dan bakteria sebenarnya sudah wujud dalam sel semasa kita masih hidup lagi.
Oleh sebab itulah, diriwayatkan jika kita ditemukan dengan tanda berupa denyutan atau
kedutan di antara dahi kanan dan kiri menandakan kematian kita akan terjadi dalam
beberapa hari lagi.
Di antara perkara yang wajib dilakukan ke atas jenazah adalah memandikan,
mengkafankan, melakukan solat jenazah dan mengebumikannya. Berbeza dengan
sesetengah agama, Islam tidak membenarkan membakar mayat. Mayat tidak boleh
dibakar kerana ini dikhuatiri akan menyakitinya. Malah melakukan bedah siasat tanpa
ada keperluan juga turut ditegah.Dari segi pengebumian, jenazah hendaklah ditanam sehingga tiada bau dapat
dihidu oleh orang yang masih hidup dan tidak memudahkan binatang mengorek balik
lubang kubur tersebut.
Orang yang syahid dalam peperangan, dikafankan dalam kain yang mereka
terbunuh dalamnya melainkan jika dikehendaki oleh keluarga supaya mengkafankan
dalam kain lain. Nabi bersabda “ selimutkanlah mereka dengan luka dan darah mereka”.
“Bau Luka itu bau kasturi”.
Sejarah pengebumian jenazah bermula di zaman Nabi Adam alaihis salam lagi.
Peristiwa ini tercatat dalam surah al-Maidah dari ayat 27-31. Menurut Kitab Tafsir Al-
Quranul Karim terbitan Yayasan Amal Bakti Sumatera Utara tahun 1967, dalam qaul
pertama, diceritakan sebab pembunuhan antara kedua putera Adam yang menyebabkan
berlakunya peristiwa pertama dalam sejarah pengebumian manusia.
Menurut riwayat, adalah Siti Hawa melahirkan sepasang kembar setiap kali ia
melahirkan anak. Lelaki dari pasangan pertama akan dikahwinkan dengan perempuan
dari pasangan kedua dan begitulah seterusnya. Kebetulan, anak Nabi Adam yang
bernama Qabil dilahirkan dengan pasangan kembar perempuannya yang cukup cantik.
Gadis ini akan dikahwinkan dengan Habil manakala kembar Habil yang akan
dikahwinkan dengan Qabil kurang elok rupa parasnya. Kerana itu, Qabil tidak mahu
menerimanya.
Maka Nabi Adam menyuruh Qabil dan Habil melakukan korban. Korban siapa yang
diterima Allah, dialah yang akan dikahwinkan dengan saudaranya yang rupawan itu.
Qabil adalah seorang pekebun manakala Habil merupakan seorang penternak.
Habil telah mengorbankan kambingnya yang gemuk sedang Qabil telah mengorbankan
tanaman gandumnya yang kurang elok.
Maka oleh Allah diterimanya akan korban Habil dengan mendatangkan api dari
langit mengambil korban Habil dan tidak diterima oleh Allah akan korban Qabil itu.
Kerana hal itu, maka timbullah kedengkian Qabil terhadap Habil lalu ia bercita-cita untuk
membunuh Habil.
Menurut kata Imam Razy. Iblis telah datang dengan mengambil seekor burung lalu dipukul tepat
di kepalanya dengan menggunakan batu, lalu Qabil mendapat idea bagaimana mahu
membunuh Habil. Lalu dia pun mencari batu besar dan dicarinya Habil. Didapati Habil
sedang tidur lalu dipukulnya kepala Habil dengan batu, lalu Habil mati di situ juga.
Inilah peristiwa pembunuhan pertama dalam sejarah anak-anak Adam.
Jumhur ulamak telah menerangkan bahawa Allah telah mengutus dua ekor burung
gagak berkelahi berbunuh-bunuhan di hadapan Qabil, lalu mati seekor. Yang hidup
mengorek-ngorek tanah dengan paruhnya sehingga lama-kelamaan terbentuklah lubang
dan ditanamilah gagak yang mati itu. Dengan menyaksikan perbuatan gagak itu tahulah
Qabil bahawa dia harus menanam mayat Habil dengan menggali tanah membentuk
lubang kubur.
Reput tanpa kebumi…
Manusia yang dicipta dari segumpal tanah akhirnya kembali kepada tanah. Kita sedia maklum, semua
jasad yang mati, lama kelamanan akan mereput. Proses pereputan ini berlaku
berperingkat-peringkat di dalam kubur. Seandainya jenazah tidak disemadikan di tanah
perkuburan, maka akan tersingkaplah kejadian pereputan yang mengaibkan ini dan
manusia tidak dapat hidup aman lantaran bau busuk yang dikeluarkan dari mayat.
Malahan, bakteria akan tersebar dan menularkan penyakit kepada manusia yang masih
hidup.
Peringkat pertama pereputan dikenali sebagai Pemecahan Sendiri. Enzim yang
terdapat dalam badan akan menghadamkan badan sendiri. Struktur membran sel akan
rosak dan enzim penguraian dilepaskan. Ia akan menyahaslikan makromolekul dalam
badan. Peringkat pertama ini bermula dalam sel yang aktif menjalankan metabolisma
seperti sel perembes dan makrofaj.
Peringkat kedua adalah peringkat pembusukan akibat tindakan bakteria
anaerobik . Oksigen sudah tiada menyebabkan wujud suasana anaerobik ( tiada oksigen)
dalam mayat. Keadaan ini menggalakkan pertumbuhan dan pembiakan bakteria
anaerobik terutamanya pada bahagian organ dalaman badan seperti perut. Bakteria ini
menguraikan zat makanan iaitu karbohidrat, protein dan lipid pada mayat dan
menghasilkan asid dan gas. Gas yang dilepaskan mengakibatkan tubuh mengembung
bermula dari perut yang akan mengubah bentuk dan rupanya. Buih-buih darah akan
meletus dari mulut dan hidung mayat akibat tekanan gas yang terjadi di sekitar
diafragma. Organ dalam tubuh seperti paru-paru, jantung dan hati turut membusuk.
Pandangan yang paling menjijikkan adalah di sekitar perut, akibat kulit tidak dapat lagi
menahan tekanan gas dan akhirnya pecah lalu menyebarkan bau yang meloyakan.
Peringkat ketiga adalah peringkat pereputan. Pada akhir peringkat kedua, cecair
badan yang busuk telah mengalir keluar. Daging akan luruh satu persatu bermula dari
bahagian tengkorak. Kulit dan jaringan lembut yang lain akan tercerai-berai. Otak turut
membusuk dan kelihatan seperti tanah liat. Tisu-tisu badan yang lembut menjadi kecut
dan kering. Proses pereputan berterusan hingga akhirnya mayat tinggal rangka.
Peringkat keempat adalah peringkat terakhir dalam proses pereputan. Pada masa
ini, tiada lagi daging untuk dihancurkan. Semuanya telah dimakan bakteria dan serangga
di dalam kubur. Yang tinggal hanyalah tisu-tisu keras seperti tulang dan gigi.
Akhirnya, mikroorganisma seperti bakteria, kulat, alga dan serangga berjaya
menakluki tulang. Berlakulah perembesan asid dan enzim metabolisma.
Mikroorganisma tersebut memetabolismakan matriks tulang pula hingga tulang hancur.
Penguraian tulang ini dibantu oleh bahan kimia di persekitaran. Pada persekitaran
berasid, kalsium fosfat yang terdapat dalam tulang akan melarut. Tulang akan musnah.
Maka, tiada apa lagi yang tinggal pada jasad..
Sehebat manapun kita, akhirnya akan mati dan hancur jua. Apabila mati,
segalanya telah berlalu dan tidak dapat diubah. Maka ingatlah sentiasa akan mati kerana
ia satu peringatan..